Berikut merupakan serba sedikit sejarah mengenai kami yang telah dipetik dari Buku Perasmian dan Pemberkatan Dewan HNCT tahun 2001:
Sejak daripada wujudnya perkumpulan belia di Gereja Holy Nativity Terawi pada tahun 70-an dahulu, ia sering dikaitkan dengan satu perkataan iaitu, “AKTIF”. Memang tidak dinafikan bahawa para belia yang datang daripada tujuh buah kampung di zon ini iaitu Monsopiad, Mahandoi, Tuaui, Kanadaru, Bukitas, Sukod dan Talang Taun sangat-sangat aktif. Aktiviti-aktiviti yang mereka laksanakan terdiri daripada aktiviti kerohanian dan juga sosial. Pada masa tersebut, menjadi ahli perkumpulan ini adalah sangat menyeronokkan bagi para belia sehinggakan ada belia daripada zon lain turut serta dalam aktiviti-aktiviti Belia HNCT. Aktiviti-aktiviti ini biasanya diadakan pada peringkat kampung atau komuniti Katolik atau “Central” iaitu di Gereja Holy Nativity Terawi (HNCT) sendiri. Pada masa tersebut, hanya terdapat beberapa buah tempat yang mereka boleh beraktiviti contohnya di Balairaya Monsopiad, Bukitas dan di Terawi sendiri. Namun, ketiadaan tempat yang begitu sempurna ini tidak menghalang para belia ini, atau boleh kami panggil disini sebagai “senior” kami, untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti mereka. Sememangnya, keaktifan senior kami ini berada pada tahap yang tinggi. Kumpulan belia HNCT sekarang iaitu Belia Millenium Baru, sangat beruntung kerana mewarisi semangat daripada senior-senior kami ini, walaupun belum dapat menyamai tahap keaktifan yang sememangnya banyak menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan Gereja Holy Nativity Terawi. Kami juga sangat beruntung kerana terdapat beberapa orang senior kami yang masih lagi bergiat aktif bersama kami dan memberi tunjuk ajar kepada kami yang masih begitu mentah dalam aktiviti kebeliaan ini. Belia adalah Penggerak dan Pembangun Gereja. Ini memang tidak dapat dinafikan dan ia begitu ketara sekali terutamanya di HNCT ini. Berbanding dengan struktur organisasi belia pada masa lalu, kini kumpulan belia dipimpin oleh 12 orang yang dikenali sebagai Komiti Belia Pelaksana (KBP). Sememangnya cabaran-cabaran (baik dalaman atau luaran) senantiasa kunjung tiba, namun kami tetap berusaha dengan sepenuh tenaga dan fikiran kami bagi merealisasikan Visi dan Misi Belia Diosis. Terdapat pelbagai aktiviti yang kami laksanakan sepanjang tahun yang terdiri daripada kombinasi kerohanian dan sosial. Sememangnya belia adalah belia, senantiasa mahukan kebebasan dan keseronokan maksimum, namun, sebagai belia Katolik, biarlah berseronok tetapi dalam batasan dan ajaran Yesus Kristus serta gereja. Maka, apabila Dewan Holy Nativity Terawi siap dibina pada tahun 2000, para belia di HNCT ini sangat gembira kerana adanya tempat untuk mereka mengadakan aktiviti. Kemudahan ini merupakan sesuatu yang sangat berharga dan tidak ada lagi masalah untuk mencari tempat bagi mengadakan sebarang aktiviti. Sebelum ini, kami terpaksa menggunakan Gereja HNCT setiap kali ataupun kadang-kadang di Balairaya Terawi (iaitu tempat lama Gereja HNCT) yang terletak berhampiran dengan Gereja HNCT yang baru.Sejak ia mula digunakan, sudah beberapa kali kami menggunakannya untuk aktiviti seperti Youths Gathering, Family Day, Feast Day, Pertandingan Melukis dan Mewarna, Valentine’s Night dan banyak lagi.Sememangnya, Dewan HNCT telah digunakan semaksimum yang mungkin oleh kami para belia sehingga kini dan kami berharap agar kami boleh menggunakan dewan ini pada bila-bila masa yang kami perlukan, seperti yang telah dipersetujui dan di sokong oleh TCCC untuk menjalankan aktiviti kami.



